Pengenalan

Sekolah Menengah Kebangsaan  Shahbandaraya telah dibuka dengan rasminya pada 9 Jun 2003. Sekolah ini beralamat di Jalan Raja Nong Off Jalan Kota Raja, 41000 Klang. Berstatuskan sekolah menengah harian biasa, sekolah ini menempatkan pelajar dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam.

Sekolah ini mula beroperasi pada 1 Januari 2004 di bawah pentadbiran pengetua pertamanya iaitu Puan Hajah Fatimah Bt Mat Tamin dan dibantu oleh dua orang 'care taker' iaitu Puan Hajah Mawarni Bt Yahya (Penolong Kanan Pentadbiran ) dan Puan Hajjah Jamaliah Bt Rais sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Pada 1 Januari 2004, sekolah ini telah mula menerima kemasukan seramai 158 orang pelajar dan 19 orang guru.


Pada tahun 2005, SMK Shahbandaraya telah menerima 62 orang pelajar bagi kumpulan pertama Program Pelajar Rancangan Khas (KRK) dan juga mengambil pelajar Pra Universiti Aliran Sains manakala pengambilan aliran Sastera Pra Universiti dilakukan pada tahun 2006. Tahun 2006 juga merupakan tahun pertama seramai 118 orang pelajar SMK Shahbandaraya menduduki perperiksaan awam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sekolah ini.


Sebelum menggunakan nama SMK Shahbandaraya sekolah ini didaftarkan atas nama SMK Kampung Jawa 2, Memandangkan terdapat empat buah sekolah yang menggunakan nama Kampung Jawa, terdapat pelbagai kekeliruan yang timbul dalam masyarakat di sini, maka melalui surat KP (JPS) 5181/57/Jld. bertarikh 13 Oktober 2005 dengan secara rasminya nama sekolah ini ditukar kepada SMK Shahbandaraya.

Kini, SMK Shahbandaraya telah mencapai usianya yang ke-11 tahun. Bilangan pelajar telah mencecah 1836 orang dab 137 orang tenaga pengajar. Telah banyak perubahan yang berlaku kepada sekolah terutamanya dari segi persekitaran sekolah yang kelihatan cantik, bersih dan kemas. SMK Shahbandaraya yang ditadbir oleh Datin Hajah Zanariah Bt Ibrahim juga turut dikenali sebagai 'sekolah berinformasi' kerana setiap ruang sekolah disediakan pelbagai informasi yang amat berguna untuk para pelajar.

Pengurusan yang berkualiti dan amalan budaya cemerlang di kalangan semua guru, kakitangan sekolah dan semua SMK Shahbandaraya mampu menjadikan sekolah ini ''Sekolah Cemerlang, Sekolah Berkualiti dan Sekolah Pilihan''.



0 comments:

Post a Comment